IPOH: Pemilik tanah di Perak khususnya yang menjalankan aktiviti penternakan dinasihatkan untuk mematuhi syarat nyata tanah masing-masing atau berdepan tindakan keras dari kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, siasatan yang dibuat mendapati banyak kes pemilik tanah tidak mematuhi syarat nyata seperti yang ditetapkan.

“Tinjuan kerajaan negeri mendapati kebanyakan mereka yang mengusahakan kegiatan penternakan ini tidak mematuhi syarat nyata dalam geran mereka.

“Mereka tidak boleh melanggar syarat itu, contohnya jika tanah itu adalah tanah pertanian, ia tidak boleh digunakan untuk tujuan penternakan.

“Kita menemui banyak kes yang mana syarat nyata tanah yang diletakkan dalam geran adalah berbeza dengan apa yang mereka lakukan di atas tanah itu. Ini secara jelas melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Tambah Dr Zambry, pelanggaran syarat tersebut telah menimbulkan pelbagai masala lain khususnya kepada penduduk sekitar.

“Setiap tanah itu kita telah menetapkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibangunkan, jika dilanggar juga maka ia akan memberi pelbagai kesan termasuk kepada alam sekitar serta penduduk di sekelilingnya.

“Bayangkan jika berhampiran kawasan perumahan wujud tempat penternakan, ia sudah tentu akan membuat penduduk di sekitar kawasan itu berasa tidak selesa.

“Kita memandang serius isu ini, dan dinasihatkan kepada mereka yang melanggar syarat nyata tanah itu, sila kembali mematuhi syarat atau kita tak akan teragak-agak ambil tindakan,” tegas beliau.