KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, 18, sepatutnya diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan bukan sebagai mati mengejut (SDR).

Portal berita Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan bahawa Sarjan Haliza Hamdan, iaitu pegawai penyiasat daripada Balai Polis Dang Wangi berkata, beliau berhati-hati berhubung kematian Ivana tetapi membuka kertas siasatan bagi kes SDR atas arahan pihak atasan.

Apabila ditanya mengapa tidak menggunakan akal fikiran selepas melihat keadaan Ivana ketika dijumpai iaitu dalam keadaan bogel dan terlentang di balkoni tingkat 14 (di bawah unit rumah tempat wanita itu tinggal), Haliza berkata sudah ada pasukan petugas polis di tempat kejadian.

Tambah beliau, adalah tidak sesuai untuk seorang pegawai penyiasat muda sepertinya mempersoalkan perintah Asisten Superintendan (ASP) Faizal Abdullah, yang kemudiannya mengambil alih siasatan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih berasa curiga dengan kes itu.

“Ya, saya curiga dan bersetuju bahawa membuka kertas siasatan sebagai SDR bukan langkah yang betul, sebab itu saya meminta Jabatan Forensik menyiasat,” katanya.

Haliza berkata demikian ketika menjawab soalan peguam SN Nair yang menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Ivana.

Prosiding yang diadakan di hadapan Koroner Mahyon Talib akan bersambung 16 Oktober ini.

Haliza dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa beliau kemudian diminta untuk membuka kertas siasatan kematian Ivana dan bukan SDR.

SDR dibuka oleh pihak polis apabila kematian membabitkan sebab yang tidak wajar manakala kertas siasatan lebih umum dan mengambil kira punca lain kematian seperti pembunuhan atau perlakuan jenayah.

FMT melaporkan bahawa, Haliza menjawab tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan kertas siasatan.

Haliza berkata demikian ketika menjawab soalan Nair berhubung tindakannya tidak membuka kertas siasatan seperti yang diarahkan.

Beliau juga didakwa berkata tidak tahu apabila ditanya Nair mengapa beliau diarahkan membuka kertas siasatan apabila belum lagi melawat tempat kejadian dan mendapat kepastian berhubung apa sebenarnya berlaku.

Haliza sebelum ini didakwa memberitahu mahkamah bahawa terdapat beberapa barang bukti yang diberikan kepadanya oleh Faizal untuk diserahkan kepada keluarga Ivana.

Menjawab soalan Nair mengapa tidak menghantar barangan itu untuk ujian DNA, Haliza didakwa berkata beliau berfikiran bahawa keluarga mahu menyimpan barangan itu iaitu kad pengenalan diri Ivana, telefon dan wang.

Haliza berkata beliau kemudiannya meminta barangan itu dipulangkan semula kepada pihak polis dan mengakui bahawa ia sudah ‘tercemar’ apabila menjawab soalan Nair.

Prosiding hari ini adalah hari ke 15 dan Haliza adalah saksi yang ke 20.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 7 Disember tahun lalu, Ivana Esther ditemui mati dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat 6 sebuah kondominium di Persiaran Capsquare di sini selepas terjatuh dari tingkat 20.

Sebelum kejadian, Ivana bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya, warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di sebuah premis hiburan di Bangsar.

Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium itu sebelum pasangan suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur, manakala Ivana berehat di ruang tamu rumah.

Bagaimanapun, Ivana yang tidak berpakaian dipercayai pergi ke balkoni dan terjatuh sehingga menerobos sengkuap balkoni kediaman di tingkat 6 sebelum mendarat di balkoni unit berkenaan.

Ivana yang pernah menang tempat ketiga dalam pertandingan ‘Malaysia Supermodel Search 2014’ ketika berusia 15 tahun, didapati turut memiliki kewarganegaraan Belgium.

Dalam pada itu, media luar negara melaporkan, keluarga Ivana dikatakan menghubungi Kedutaan Belanda serta Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan mahu siasatan penuh dijalankan kerana mengesyaki mangsa dibunuh – berita harian