KUALA LUMPUR : Di tengah-tengah keyakinan yang merosot di kalangan penyokongnya, Lim Kit Siang sedar terdapat gesaan agar beliau berundur selepas lima dekad dalam politik.

Menyebut mengenai perjuangan dan pengorbanan selama berdekad-dekad, Lim berikrar bahawa DAP tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat dan tidak membelakangkan prinsip dan harapan serta matlamat Malaysia Baru.

“Patutkah saya melupakan Malaysia Baru dan berhenti?” soal beliau.

Bagaimanapun, ahli politik veteran itu berkata DAP memerlukan masa agarĀ  rakyat menyedari perkara itu dan menggesa pemimpin parti itu memiliki stamina, sabar dan komited terhadap usaha tersebut.

Lim berkata jika pilihan raya umum diadakan sekarang, beliau akan tewas di kerusi parlimen Gelang Patah dan DAP akan kehilangan 30 hingga 40 peratus undi di seluruh negara.

“Ini disebabkan salah tanggapan dan salah faham mengenai DAP dan Pakatan Harapan di kalangan penyokong lama kami.

“Kami perlukan masa untuk penyokong kami dan rakyat sedar DAP tidak mengkhianati mereka dan kita tidak boleh menyerah kalah dengan harapan dan matlamat Malaysia Baru untuk mencapai perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.

“Jika DAP telah mengkhianati rakyat dan harapan dan objektif Malaysia Baru, maka DAP patut ditolak oleh rakyat Malaysia dan tidak ada cara DAP boleh memulihkan atau meraih semula sokongan pengundi dengan peredaran masa. Malah, keputusannya mungkin menjadi lebih teruk.

“Tetapi jika DAP tidak mengkhianati prinsip kita dan harapan rakyat, maka masa akan menunjukkan betapa salahnya persepsi dan salah faham tentang DAP,” katanya.