Seri Iskandar: Polis menahan dua lelaki berusia 40-an yang sedang mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi dan merampas peralatan digunakan di Kilometer 31, Jalan Kampung Gajah-Bota Kanan, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, sepasukan pegawai serta anggota yang membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu, terserempak dengan kedua-dua suspek dan seorang daripada mereka sedang menarik kabel manakala seorang lagi berada dalam lori.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek dengan seorang daripadanya menjalankan perniagaan besi buruk, ditahan selepas didapati memotong kabel berkenaan untuk dicuri.

Katanya, polis turut merampas lori serta peralatan digunakan, antaranya pisau, sarung tangan dan alat pemotong besi.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah.

‚ÄúPolis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

-myMetro