KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini diselubungi warna merah ketika perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 berlangsung hari ini.

Majlis perasmian bermula dengan upacara menaikkan bendera parti, Sang Saka Bangsa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kira-kira jam 9.15 pagi.

Upacara tersebut diiringi dengan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ yang dipersembahkan dengan penuh bersemangat oleh kumpulan koir terdiri daripada 40 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Terdahulu, Najib yang juga Perdana Menteri tiba di Plaza Merdeka bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tepat pukul 9 pagi.

WhatsApp Image 2017-12-07 at 10.54.44

Ketibaan beliau disambut oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut menyambut ketibaan beliau ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Najib kemudiannya memeriksa kawalan perbarisan yang disertai 150 ahli daripada ketiga-tiga sayap UMNO sambil diiringi Shahrizat, Khairy dan Mas Ermieyati.

Selepas upacara itu, Najib bersama semua pimpinan tertinggi UMNO dan para perwakilan memasuki Dewan Merdeka bagi memulakan persidangan.

Seramai 5,739 perwakilan dari seluruh negara menghadiri PAU 2017 sehingga Sabtu ini.