TERKENAL sebagai bandar yang melahirkan ramai graduan pendidikan, Tanjung Malim yang menjadi pusat pentadbiran daerah Muallim, kini menawarkan produk makanan yang divariasikan daripada pau yang sekian lama mempopularkan pekan paling selatan di negeri Perak itu.

Berhasrat muncul sebagai pusat gastronomi tempatan, Tanjung Malim sejak dahulu terkenal dengan pau gebu Yik Mun namunkini semakin giat mempromosi variasi baru pau yang diberikansentuhan inovasi termasuk pau bakar.
Pau yang dipelopori oleh pengusaha pau jenama Pau Sedili itu mencuri tumpuan ramai ketika pameran makanan diadakan di bandar tersebut baru-baru ini.

Lari daripada kaedah lazim iaitu mengukus, Pau Sedili yang diusahakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) memperkenalkan pau yang dimasak dengan cara membakar.

Asalnya, pau merupakan kuih tradisional dari negara China yang diperbuat dari tepung dan yis yang kemudiannya diuli, dibentukkan bulat dan diisi inti di dalamnya.

Pau juga dipanggil sebagai baozi, bao, bau atau pow.

Kebiasaannya setitik pewarna akan diletakkan di atas pau bagimengenal pasti dan membezakan jenis pau yang di masak, teknik yang selalu digunakan ialah dengan mengukus.

Pau Bakar Lebih Garing, Lebih Perisa

Suara Perak berpeluang melihat sendiri proses penyediaan pau bakar hasil keluaran Pau Sedili di Pesta Pau Muallim yang menghimpunkan puluhan pengusaha gerai makanan berasaskan pau di Arena Square Tanjung Malim.

Menurut pembantu gerai Pau Sedili, Noor Aida Aslinda Norizan, 26, jenama pau yang dibangunkan oleh pensyarah, Dr. Suriani Mohamed sejak tahun 2014 ini mengaplikasikan kaedah membakar bagi membangkitkan lagi rasa pau.

“Beza pau ini ialah dia macam roti bakar dan lebih rangup, sesetengah orang tak gemar makan pau sebab dia terlalu lembutdan melekit. Jadi kita cuba kaedah bakar dan alhamdulillah sambutan dalam dua bulan ini sangat baik.

“Sebelum ini pun ramai yang datang ke gerai kami sebab ada yang kata itu pertama kali mereka tengok pau dibakar dan bukannya dikukus,” kata Noor Aida yang kini masih masih meneruskan pengajian di peringkat Sarjana di UPSI.

Jelasnya, pau akan dibakar menggunakan alat pemanggang yang direka khas untuk pau dan kayu arang dari jenis pokok getahdijadikan sebagai bahan pembakar.

“Pau Sedili dengan hasil kerjasama UPSI ini mampu menghasilkan 500 pau sehari dan menawarkan lapan perisa seperti kacang merah, sardin, ayam, coklat dan kaya. Harga bagi pau kukus RM 1.50 dan pau bakar RM 2.

“Inovasi terbaharu kami ialah perisa labu yang sangat laris di sini dan bagi saya penganjuran pesta ini sangat baik sebab orang lain boleh tahu inovasi yang ada pada setiap pau,” ujarnya.

Variasi Pau dan Rekaan Bentuk

IMG_7092   IMG_7091

Pesta Pau Muallim ini mendapat penyertaan dari pelbagai pengusaha pau bukan sahaja di Perak bahkan dari negeri lain, ia merangkumi Pau Wak, Shariz Enterprise, Pau R’mias, Pau Sedap, Pau Viral, Pau Aishah dan Pau Beca.

Program anjuran Majlis Daerah Tanjung Malim ini bertujuan untuk memperkenalkan Tanjung Malim sebagai destinasi pelancongan gastronomi, selain mempamerkan keistimewaan dan keunikan pau tersendiri.

IMG_7033

Ternyata pau kini bukan sekadar kuih berbentuk bulat dan berwarna putih, ia sudah dipelbagaikan dengan bermacam pilihan serta menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang melihatnya.

Antara pau yang berjaya mencuri perhatian ramai di pesta ini ialah pau berbentuk cendawan, pau yang dibentuk seperti kartun Angry Bird serta pau berwarna- warni.