LUMUT: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini telah berjaya menghasilkan indikasi positif untuk UMNO menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO berkata kesediaan itu berdasarkan kesungguhan ahli akar umbi memberi sokongan penuh kepada usaha memperkukuhkan parti.

Menurutnya walaupun dihujani dengan pelbagai cabaran dan kehilangan beberapa bekas pemimpin kanan parti namun semangat PAU baru-baru ini menunjukkan kesatuan ahli parti di semua peringkat.

“Mesej yang paling penting dalam perhimpunan kali ini adalah usaha semua pihak untuk memperkukuhkan parti sebagai asas kepada kekuatan kita.

“Sekiranya UMNO masih lagi terumbang-ambing maka tentunya kita akan menghadapi masalah di masa depan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Back to School di Dewan M Sidek Shabudin, KD Pelanduk, Pengkalan TLDM di Lumut pada petang Isnin.

 


Jelasnya, kesemua yang hadir dalam perhimpunan itu menunjukkan keikhlasan untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai satu jentera parti dengan penuh bersemangat.

“Saya sendiri merasainya, terdapat kelainan dan kemeriahan yang begitu terasa daripada peringkat akar umbi dan memberi suasana bersemangat ketika perhimpunan.

“Saya yakin, ianya adalah indikasi positif untuk menghadapi PRU kelak,”katanya lagi.