IPOH: Exco Perak Paul Yong Choo Kiong akan direhatkan daripada tugasnya buat sementara waktu sekiranya siasatan polis yang sedang dijalankan terhadap Adun Tronoh itu berlanjutan, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun setakat ini, menteri besar berkata exco Perak itu dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa.

Faizal menjelaskan cadangan cuti sementara itu bertujuan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

“Sekarang beliau tidak dikenakan apa-apa dakwaan. Jadi, sekadar satu laporan dan siasatan sedang dibuat.

“Saya kira apabila kita perlu gantung (arahan bercuti) seseorang itu kerana (dengan) jawatan itu beliau boleh menggunakan kedudukan untuk menganggu proses keadilan.

“Sekarang cuma ada satu siasatan bukan ada pendakwaan jenayah, maka saya fikir (Yong) boleh jalankan tugas seperti biasa.

“Namun saya fikir jika siasatan ini berlanjutan dalam satu jangka masa yang panjang, mungkin boleh dinasihatkan untuk beliau mengambil cuti,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Yong, 49, sebelum ini didakwa merogol pembantu rumahnya 23 tahun.

Ahmad Faizal yang juga MP Tambun memaklumkan kerajaan negeri mungkin terpaksa menangguhkan beberapa mesyuarat rasmi yang melibatkan exco itu.

“Maka, untuk seseorang yang ada kuasa dalam membuat keputusan dalam sesetengah mesyuarat, mesyuarat exco, mesyuarat lembaga perumahan, mungkin itu kita tangguhkan dulu. Beliau tak perlu hadir,” katanya.

Yong merupakan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru kerajaan negeri serta bendahari DAP Perak.

Susulan dakwaan tersebut, majlis angkat sumpah exco kerajaan Perak yang dijadual hari ini ditangguh ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Sementara itu, jelas Faizal lagi mesyuarat exco yang dijadualkan berlangsung semalam ditangguh kerana terdapat mesyuarat lembaga pengampunan bersama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

 

-MalaysiaKini