IPOH – Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong hari ini menafikan tuduhan kononnya beliau telah merogol pembantu rumahnya.

Menurutnya, beliau percaya pihak polis akan membuat siasatan secara profesional dan terus memberi kerjasama bagi membersihkan namanya.

“Tuduhan yang dikenakan itu amat mengejutkan dan tidak berasas.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang tidak berasas tersebut. Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia.

“Bagi membersihkan diri saya daripada pertuduhan bersifat fitnah tersebut, saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan membawa saksi-saksi untuk membantu siasatan polis bagi menunjukkan bahawa ia merupakan pertuduhan fitnah semata-mata,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuduhan merogol seorang wanita yang merupakan pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia menerusi satu laporan polis kelmarin.

Paul berkata, pihaknya akan terus menghormati proses undang-undang dengan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

Semalam, media melaporkan ADUN Tronoh itu berdepan siasatan kes seksual membabitkan pembantu rumahnya selepas wanita warga Indonesia itu membuat laporan polis semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan kerajaan Perak belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Paul Yong yang dikaitkan dengan kes jenayah seksual.

Sementara itu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam kenyataannya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap laporan tersebut.

-SINAR