IPOH : Keputusan untuk membenarkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong hadir ke Persidangan Dewan Negeri Perak ke-14 hari ini dan menjawab soalan sebagai Exco adalah keputusan dari kerajaan negeri,” ujar Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) Datuk Ngeh Koo Ham.

Menurutnya, dari segi undang-undang beliau masih memegang jawatan sebagai ADUN Tronoh dan ahli exco, bagaimanapun katanya keputusan itu adalah di bawah bidang kuasa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Kerajaan negeri telah buat keputusan, saya tidak akan campur tangan kerana saya ialah Yang Dipertua Dewan sahaja, sama ada beliau diminta oleh kerajaan untuk menjawab atau tidak itu terpulang kepada pihak kerajaan.

“Itu (keputusan) tanyalah YAB Menteri Besar kerana bagi saya, ikut peraturan saya hanya minta wakil kerajaan untuk menjawab, jadi mereka pilih mana exco untuk menjawab (soalan).

“Menteri Besar yang menetapkan siapa untuk menjawab mana-mana soalan , saya hanya mempengerusikan majlis,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas kehadiran Paul Yong pada Persidangan Dewan Negeri ke-14 hari ini dan menjawab soalan selaku Exco.

Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dilihat menjawab soalan dari ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng berhubung isu lambakan rumah yang tidak terjual di Perak.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan Paul Yong memaklumkan keputusannya untuk bercuti daripada menjalankan tugas rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi memberi tumpuan kepada perbicaraan.

Perbicaraan kes rogol itu bermula 11 hingga 15 November, baru-baru ini Mahkamah Sesyen Ipoh membenarkan pasukan pembelaan untuk menangguhkan kes rogol itu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memohon penangguhan untuk membolehkan mereka memfailkan permohonan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana banyak isu perundangan timbul terutamanya membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009.