IPOH- Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dikaitkan dengan dakwaan rogol yang dibuat pembantu rumahnya, meneruskan tugas hakikinya seperti biasa hari ini.

Yong yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, tiba di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 9.16 pagi turut menjelaskan kepada media bahawa dia akan tetap meneruskan jadual kerjanya seperti biasa.

“Saya tiada apa-apa mengapa saya tak bekerja?apa yang berlaku kepada saya? Saya masih Exco.

“Sesiapa pun boleh melontarkan tuduhan kepada sesiapa, tetapi tuduhan itu kena berasas. Dalam hal ni saya nafi sekeras-kerasnya, saya tak pernah buat apa-apa.

“Saya percaya polis sedang buat siasatan, saya tak boleh komen apa-apa. Masa akan buktikan segala-galanya, itu saja,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Yong, 49, sebelum ini didakwa merogol pembantu rumahnya, 23 tahun.

Sementara itu, dia turut mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berkata dia mungkin akan direhatkan daripada tugasnya buat sementara.

“Kita kena faham apa yang MB cakap, dia (Ahmad Faizal) cakap kalau kes ni berlanjutan lama, ambil masa yang panjang mungkin dia nasihatkan saya supaya rehat dulu.

“Itu erti sebenarnya, kita pun tak tahu kes ni boleh berlanjutan berapa lama, kalau betul lanjut lama mungkin dia akan nasihatkan saya, itu saja,” katanya lagi.