IPOH – Dalam usaha mengekalkan bangunan bersejarah yang mempunyai nilai estetika kepada penduduk Kampung Simee, Ahli Parlimen Ipoh Timur YB Wong Kah Woh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Canning YB Jenny Choy bakal menghidupkan semula pawagam Silver Star di sini dengan menjadikannya sebuah dewan orang ramai.

YB Kah Woh berkata tindakan itu diambil dengan mengambil kira kepentingan pawagam itu yang pernah menjadi pusat tumpuan masyarkat di kampung tersebut untuk berhibur dan berkumpul sejak tahun 1950-an.

“Bangunan ini mempunyai satu sejarah yang mana apabila Kampung Simee wujud pada tahun 1950-an tapak ini telah pun dijadikan sebagai satu tapak panggung wayang pada masa itu dinamakan sebagai Happy Cinema.

“Pada 1960-an, telah berlaku satu kebakaran dan bangunan yang asal telah pun terbakar dan setelah itu bangunan baru telah dibina semula dan dinamakan sebagai pawagam Panggung Silver Star yang masih kekal sehingga hari ini,” kata beliau.

YB Kah Woh berkata demikian ketika sidang media untuk menghidupkan kembali bangunan panggung wayang Silver Star di Kampung Simee, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pada pertengahan tahun 70-an apabila televisyen dan perkam video menjadi popular jadi perniagaan panggung wayang ini telah pun merosot dan akhirnya telah ditutup.

“Pada 2012 kerajaan Negeri telah menggezetkan tapak seluas 35,000 kaki persegi ini sebagai sebuah dewan orang ramai, tetapi sepanjang masa ini kerajaan yang terdahulu tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk memulihkan semula bangunan ini. Jadi, kami percaya adalah perlu dan patut untuk memulihkan semula struktur yang sedia ada dan tidak akan merobohkannya kerana ia mempunyai nilai sejarah lebih daripada 50 tahun,” ujar beliau.

Memperuntukkan masa antara sembilan bulan hingga setahun untuk kerja-kerja memulihara bangunan dua tingkat itu, YB Kah Woh berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memulihkan struktur ini dan menjadikan bangunan ini sebagai sebuah dewan orang ramai yang berunsur sejarah dan budaya.

“Saya dan YB Jenny bercadang untuk menyediakan satu sudut di dalam bangunan ini untuk menjadikan sudut sejarah khas untuk Kampung Baru Simee.

“Ini adalah penting kerana ada rakan-rakan yang mempunyai gambar lama dan apa-apa bahan bersejarah yang boleh disimpan di sudut sejarah dan boleh memumup supaya generasi-generasi yang akan datang ini boleh memahami dengan lebih mendalam lagi berkenaan dengan sejarah sesuah kampung baru,” tambah beliau.

Sebagai permulaan, pihaknya telah membersihkan lalang dan menebang pokok yang memenuhi perkarangan bangunan terbsebut dan telah memasang 1,000 biji lampu untuk menceriakan suasana.

Mengulas mengenai kos yang bakal ditanggung, Kah Who berkata mereka masih di dalam peringkat awal untuk berbincang dengan Ahli Majlis MBI.

“Walaubagaimanapun, saya dan YB Jenny bersedia untuk menggunakan peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN yang sedia ada bersama-sama dengan Ahli Majlis MBI untuk menjayakan projek pemuliharaan ini,” kata beliau yang mahu memori indah penduduk Kampung Simee terus mekar.

Sementara itu, YB Jenny berkata satu Pesta Tanglung akan dianjurkan di perkarangan bangunan pawagam itu pada 22 September ini.

“Pesta selama sehari itu akan menggabungkan pelbagai aktiviti menarik dari pagi hingga malam untuk memeriahkan lagi Pesta Tanglung pada kali ini.

“Kepada ibu bapa yang mahu anak mereka mengambil bahagian mewarna, bolehla mendaftar dengan menghubungi Pusat Khidmat ADUN Canning di 05 5482907,” ujar beliau yang menganggarkan lebih 100 pengunjung yang hadir.

Antara aktiviti yang disediakan ialah senaman aerobik, persembahan ukulele, saksofon, persembahan nyanyian dan tarian.