KUALA LUMPUR 7 Sept. – PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini mendesak Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu (PBB) me­ngadakan sidang khas tergempar bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, desakan tegas itu senada dengan rakan-rakan par­ti komponen Barisan Nasio­nal (BN), Majlis Belia Malaysia (MBM), pertubuhan-pertubuh­an belia serta pertubuhan lain dalam mencari penyelesaian terbaik isu tersebut.
Menurutnya, Pemuda UMNO pada 30 November 2016 pernah mendesak agar krisis tersebut diselesaikan segera kerana situasi yang melanda etnik Rohingya tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia sekali pun, namun ia semakin buruk dengan kemuncaknya pada 25 Ogos lalu apabila lebih 400 rumah dibakar dan ramai etnik Rohingya yang dibunuh serta diseksa.

“Hampir 125,000 pelarian Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar dan lari ke Bangladesh dalam tempoh dua minggu sahaja. Mengikut anggaran PBB sendiri angka ini dijangka naik sehingga mencecah 30,000 pelari­an dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Turut menyertai sidang akhbar itu ialah Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN turut menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan konflik itu secara keseluruhan

“Dunia perlu mengambil langkah pantas bagi menyelesaikan kekejaman ke atas etnik Rohi­ng­­ya sepertimana kita bertindak apabila krisis kemanusiaan dan kekejaman berdarah melanda mana-mana kumpulan insan sekalipun.

“Oleh itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa penyelesai­an jangka panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta merta, bermula dengan sidang khas tergempar PBB. Pemuda UMNO dan beberapa pihak lain juga akan mengadakan demonstrasi bantahan atas semangat solidari­ti dengan etnik Rohingya dan menghantar memorandum rasmi kepada Wisma PBB pagi esok serta kepada kedutaan Myanmar selepas solat Jumaat,” ujarnya.

Pada sidang akhbar itu Khairy turut melancarkan kempen #tear­sforRohingya sebagai salah satu usaha yang digerakkan da­­lam misi kemanusiaan ber­kenaan.

“Kempen ini perlu digerakkan oleh seluruh rakyat Malaysia dan ia amat penting kepada kita dalam usaha memberi tekanan kepada PBB untuk mengadakan sidang khas, penting untuk kita mendesak agar negara-negara jiran terutama dalam ASEAN dan OIC terus bersuara dan mencari penyelesaian jangka masa panjang.

“Kita berharap desakan ini diambil perhatian serius dan akan memberi kekuatan kepada kerajaan kita terutama Perdana Menteri dan Menteri Luar yang akan ke PBB pada minggu depan untuk Perhimpunan Agung PBB bagi menyatakan pendirian Malaysia yang datang daripada rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

-Utusan Online