IPOH: Kerajaan negeri telah melantik Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah bagi menguruskan terimaan peruntukan dan mengenalpasti projek-projek pembangunan untuk daerah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, semua jabatan kerajaan diwajibkan menggunapakai garis panduan pelaksanaan mengikut Pekeliling Perbendaharaan (1PP) yang telah dikuatkuasa pada 3 Julai 2014.

Menurut beliau, 1PP merupakan peraturan kewangan dan perakaunnan dalam sistem pengurusan kewangan negeri yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan di bawah Seksyen 4 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

“Pekeliling tersebut bertujuan untuk memberi garis panduan dan mengumpulkan sumber maklumat serta tatacara pembiayaan projek,” katanya ketika menjawab soalan lisan Chen Fook Chye (DAP-Keranji) semasa Sidang DUN pada Khamis.

Terdahulu, Wakil rakyat DAP itu bertanyakan nama ageni yang mengendalikan peruntukan-peruntukan pembangunan daripada kerajaan negeri untuk kawasan DUN yang dimenangi oleh Pembangkang.

Zahir memberitahu, sepanjang tempoh 2013 hingga 2016, kerajaan telah meluluskan 52 projek pembangunan melibatkan peruntukan sebanyak RM1,837,120.00 untuk kawasan DUN Keranji.

Katanya, peruntukan tersebut telah disalurkan melalui agensi pelaksana di bawah kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan yang melibatkan pembangunan sosial dan luar bandar.

“Di antaranya termasuklah menaiktaraf infrastruktur seperti jalan kampung, rumah ibadat, komuniti masyarakat, sistem perparitan dan bangunan,” ujarnya.