KUALA KANGSAR – Gejala rasuah dan ‘makan suap’ hendaklah dibanteras sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Perak supaya aspirasi kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) benar-benar dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, gejala rasuah yang tidak dibendung pastinya akan meruntuhkan sesebuah institusi negeri dan negara.

Menurutnya, unsur pemberian bawah meja yang diamalkan segelintir pihak boleh menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Jika berlaku unsur perbuatan rasuah berleluasa terutama dalam kalangan pemimpin setempat, rakyat akhirnya akan menjadi mangsa tekanan.

“Saya tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dapat menghidu sebarang perbuatan rasuah daripada kalangan pemimpin PBT dilantik,” katanya sewaktu berucap pada majlis angkat sumpah ahhi-ahli Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), semalam.

Majlis itu menyaksikan seramai 25 individu dilantik sebagai ahli majlis menjalani upacara mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Datuk Shahrom Abdul Malek.

Seramai tujuh ahli majlis MPKK baharu dilantik terdiri daripada wakil DAP, lima wakil Amanah, Bersatu (5), PKR (5) dan dua wakil badan bukan kerajaan (NGO) – sinar