IPOH 24 Julai – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak lagi mengeluarkan sebarang lesen pusat hiburan dan telah dibekukan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalankan operasi premis secara haram, perakara itu boleh dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

“Ramai bertanyakan kepada saya tentang ini tetapi saya belum pernah keluarkan sebarang lesen hiburan setakat ini walaupun terdapat premis sedia ada yang sudah mahu tamat tempoh (lesennya).

“Pengeluaran lesen kini di bawah pejabat daerah, bukan PBT, sementara operasi dijalankan oleh pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang ke Taman Gunung Lang yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bilangan lesen pusat hiburan yang telah diluluskan di sekitar Ipoh. – UTUSAN ONLINE