IPOH: Usaha akan diambil untuk meredakan rasa kecewa yang dikatakan berlaku di Tanjung Malim lantaran penyandang bagi kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Pengarah PDM Kampung Balun, Datuk Kamarul Rashdan Salleh berkata, sebenarnya tidak timbul soal protes yang pernah ditimbulkan timbalannya, Shukor Ahmad yang kecewa dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti menggantikan Ong Ka Chuan dengan calon lain.

Menurutnya, itu adalah pandangan peribadi Shukor, bukannya pandangan PDM Kampung Balun yang mengandungi tiga buah kampung iaitu Kampung Bantang, Kampung Balun dan Balun Baru.

“Kami tidak pernah mengadakan mesyuarat dan perbincangan yang memutuskan untuk menolak calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, sebaliknya pendirian PDM Kampung Balun adalah jelas, kita menyokong semua calon yang diputuskan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Parlimen Tanjung Malim mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Sungkai, Slim dan Behrang.

BN mencalonkan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon di Parlimen Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (Slim), Datuk Rusnah Kassim (Behrang) dan Datuk V. Elango (Sungkai).

Kamarul Rashdan memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memujuk kumpulan tersebut supaya sama-sama bekerja untuk memenangkan calon-calon BN.

Dalam masa sama, beliau meminta jasa baik calon-calon untuk turut sama memujuk kumpulan itu, sekaligus mencapai kemenangan lebih besar dalam pilihan raya kali ini.

Mengenai rombongan ke Putrajaya yang dikatakan disertai 640 ahli BN termasuk jentera parti itu di Parlimen Tanjung Malim dengan menaiki 16 buah bas, Kamarul Rashdan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu menegaskan bahawa beliau tidak terlibat langsung.

Bagaimanpun, beliau mengakui terkejut apabila diberitahu terdapat satu banner yang dibawa oleh rombongan itu, menyatakan sokongan kepadanya.

“Saya tidak terlibat langsung menaja atau memberi wang untuk rombongan itu yang saya mendapat maklum hanya untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ong Ka Chuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyanjung tinggi kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa BN Perak tidak akan serta-merta menunding jari menyalahkan Ong Ka Chuan dan beliau sebagai dalang di sebalik perhimpunan membantah pencalonan kerusi Parlimen Tanjung Malim.