RANTAU PANJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai petunjuk baharu berhubung lokasi ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, dan akan cuba membawanya pulang untuk didakwa.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata ia akan mengambil sedikit masa kerana siasatan berhubung Jho Low dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berjalan.

“Ya memang ada (petunjuk baharu)..saya serius ni. Namun, perlu sabar dahulu dan InshaAllah kita akan cuba bawa dia balik untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya tahu semua tertunggu-tunggu kerana dia Jho Low) adalah petualang sehingga negara terhutang begitu banyak.

“Malah, Jho Low seorang yang sangat pengecut apabila dia dengan sombong mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya mengatakan berada di Macau, di Hong Kong untuk mempersendakan tindakan yang diambil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan singkat di kawasan sempadan di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Ketika ditanya adakah pihak polis sudah mengetahui lokasi Jho Low yang dikatakan bersembunyi di China, Abdul Hamid berkata lokasi Jho Low sudah lama diketahui.

Akhbar sebelum ini melaporkan, PDRM sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung skandal 1MDB.

Mereka ialah tiga rakyat Malaysia, iaitu Low Hock Peng, 67; Goh Gaik Ewe, 67; dan Tan Kim Loong, 41; serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.

Mengikut rekod, Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Gaik Ewe adalah ibu bapa kepada Jho Low yang dalam buruan polis – berita harian