IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merayu kerajaan mempertimbangkan permohonan menambah anggota dan insentif khas bagi dua pasukan elit polis, Komando 69 (Vats 69) dan Unit Tindakan Khas (UTK) dalam Bajet 2019.

Pihak polis berharap anggota Vats 69 ditambah daripada 600 sekarang kepada 900 orang dan UTK pula daripada sekitar 400 sekarang kepada kira-kira 800.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga berharap, kerajaan juga dapat mempertimbangkan insentif-insentif tertentu, termasuk menyediakan insuran khas untuk anggota kedua-dua pasukan elit itu.

“Saya harap akan dapat kelulusan. Ini kerana kekuatan yang ada ni tidak, nampaknya amat-amat kritikal untuk kita menampung keperluan, dari segi mengescort pembesar-pembesar negara dan sebagainya.

“Jadi kita perlu membesarkan kekuatan yang sedia ada ni tadi. Jadi kita harap sekali lagi, kita merayu kepada kerajaan agar permohonan kita ini dapat diluluskan, mungkin dalam bajet yang akan datang,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penutup Pertandingan menembak IPSC Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM sempena Ulangtahun 69 Komando ke 49, di Markas Briged Utara, Ulu Kinta, Perak pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Negara itu, kedua-dua unit elit itu amat diperlukan, terutama dalam keadaan kritikal ataupun krisis seperti mana berlaku di Tanduo tempohari.

Unit Tindakan Khas pula perlu diperbesarkan kerana jumlah mereka yang dipancing oleh pihak luar sangat tinggi.

Dalam pada itu, kata beliau, cadangan mewujudkan jabatan khas untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar, tidak sesuai ketika ini kerana kekangan kewangan kerajaan.

Ketika ini terdapat banyak unit di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penambahan
unit akan melibatkan bajet kerana ia melibatkan penambahan pegawai dan anggota.

Beliau berpendapat, kekuatan yang ada sekarang berkemampuan untuk menjalankan siasatan.

“Saya rasa yang ada ni, saya berpendapat kita ada kemampuan cuma bila kita pecahkan kepada bahagian siasatan melibatkan alam semula jadi ni, kita akan fikirkanlah, tapi untuk penambahan anggota ni, saya rasa tidak sesuai pada masanya pada ketika ini memandangkan kekangan kekangan kewangan.

“Idea tu bagus tapi kekangan kewangan kerajaan juga kita perlu ambil kira dalam kita melaksanakan cadangan yang dibuat oleh pihak luar itu,” ujarnya.

Sebelum inj, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan (PDRM) menubuhkan jabatan khas untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar, khususnya membabitkan kecurian dan kemusnahan alam di seluruh negara.

Menurutnya, walaupun ada antara kesalahan dilakukan terletak di bawah bidang kuasa agensi lain, namun peranan polis mampu membantu mengekang aktiviti jenayah berkenaan yang semakin menjadi-jadi.