IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merekrut lebih 6,000 pegawai dan anggota pangkat rendah mulai tahun depan dalam usaha memantapkan lagi perjawatan dalam pasukan keselamatan itu.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan PDRM Datuk T Narenasagaran berkata, kerajaan Pusat memperuntukkan PDRM untuk mengambil 6,000 anggota bagi mengisi keperluan nisbah jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Beliau berkata, lebih 600 perjawatan bakal diisi pegawai manakala selebihnya diisi anggota pangkat rendah termasuk konstabel sokongan, kadet dan konstabel Orang Asli.

“Ini mengambil kira bagi menggantikan pegawai dan anggota pencen serta usaha kerajaan untuk memantapkan PDRM dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Sekarang, kita sudah giat menjalankan pengiklanan untuk pengambilan serta menjalankan latihan fizikal,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2017 di PGA Briged Utara, Ulu Kinta di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 658 pegawai dan anggota PGA menjalani latihan asas di pusat latihan berkenaan.

Beliau berkata, bagi mencapai pembangunan piawaian tahap dunia, pertambahan penduduk di negara memerlukan pembabitan polis yang mencukupi.

“Bagi menuju ke arah itu, kita perlu tengok nisbah seorang pegawai polis dan bilangan orang awam.

“Jadi, kerajaan mengambil inisiatif meningkatkan jumlah pengambilan mulai tahun depan berbanding pengambilan seramai 1,700 anggota pada tahun ini,” katanya. – MYMETRO