IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melakukan rombakan besar-besaran melibatkan pegawai atasannya bermula bulan hadapan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini PDRM telah pun menukar beberapa anggota pelbagai pangkat di peringkat bawahan yang melibatkan jabatan-jabatan yang disifatkan sebagai sensitif.

Menurut beliau, terbaharu, lebih 20 anggota pelbagai pangkat daripada jabatan Narkotik telah pun ditukarkan ke bahagian lain.

“Jabatan-jabatan lain juga akan berlaku sedikit perubahan tetapi ianya perkara biasa, ada sesekali yang luar biasa itu telah pun kita tukar.

“Dalam tempoh terdekat ini juga piak PDRM akan melakukan rombakan besar diperingkat atasan mungking selepas raya ini,” katanya selepas menghadiri program singgah sahur di Balai Polis Pekan Baru, di sini pada Ahad.

Pada 20 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan pasukan keselamatan itu melakukan “pembersihan” besar-besaran di kalangan anggotanya bagi mengekang masalah intergriti agar tidak terus menular.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu, siasatan kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnian, 21 yang dipercayai akibat didera pada 1 Jun lalu, hampir siap.

Kata beliau, pihaknya telah pun mengetahui motif di sebalik kejadian itu dan sebaik kertas siasatan berkenaan lengkap ianya akan dibentangkan kepada peguam negara.

“Saya tidak mahu memberitahu motif kejadian kerana pihak mahkamah yang akan menentukannya nanti.

“Kita akan siapkan siasatan ini dan ianya akan dihantar kepada peguam negara tidak lama lagi,” ujarnya.