KUALA NERUS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menggunakan perbelanjaan semasa bagi menampung kos penugasan pegawai dan anggotanya bagi meningkatkan kawalan keselamatan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Selangor apabila tidak menerima bajet tambahan daripada kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi menampung keperluan untuk menempatkan pegawai dan anggotanya di setiap PRK yang diadakan termasuk, kos logistik.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bajet tambahan daripada kerajaan kerana PDRM perlu menempatkan pegawai dan anggota bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan sepanjang PRK diadakan.

“Buat masa ini PDRM masih belum menerima apa-apa bajet daripada kerajaan.

“Kami terpaksa menggunakan perbelanjaan semasa untuk menampung keperluan itu. Ia sudah tentu menjejaskan kedudukan kewangan pasukan khususnya di Selangor yang terbabit secara langsung dengan tiga PRK iaitu di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.

“Bagaimanapun, bajet itu bergantung kepada situasi keselamatan di lokasi. Jika keadaannya terkawal, maka kita tidak perlu berbelanja besar. Namun ada tempat yang sensitif berpotensi berlaku ketegangan kita perlu tingkatkan kawalan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian Persidangan Persatuan PDRM dan Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Asri Yusoff.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, perbelanjaan bagi setiap PRK agak besar kerana PDRM akan meningkatkan kekerapan rondaan, peningkatan kawalan keselamatan dan tempoh masa penugasan dalam kalangan pegawai dan anggota.

“Seperti PRK Sungai Kandis, PDRM menjangkakan memperoleh bajet tambahan sebanyak RM3 juta, namun setakat ini kami tidak menerima apa-apa.

“Bagaimanapun, sebagai pasukan keselamatan, tugas mesti dilaksanakan dalam apa jua keadaan khususnya berkaitan keselamatan,” katanya – berita harian