PUTRAJAYA : Hukuman penjara mandatori perlu diambil kira dalam pindaan undang-undang terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, bagi menangani perbuatan berkenaan di masa depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata isu berkenaan sudah lama dibincangkan, termasuk banyak kertas cadangan disediakan, namun kini baru ramai yang melihat betapa kritikal masalah berkenaan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya menyokong usaha Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminda undang-undang terbabit dengan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

“Ia seperti semakin kerap kita bercakap mengenainya, esoknya akan ada kes memandu dalam keadaan mabuk. Ia seperti bermusim. Dari satu sudut, saya melihat hukuman yang mencegah perlu dimasukkan dalam pindaan undang-undang baharu itu.

“Perlu ada hukuman pemenjaraan yang mencegah, yang akan mencegah mereka daripada melakukan perbuatan itu.

“Jika ia dibiarkan begitu saja (seperti peruntukan sedia ada) terpulang kepada hakim untuk meletakkan hukuman, dan bergantung kepada interpretasi mereka. Hukuman pemenjaraan itu boleh menjadi pencegahan terhadap individu yang fikir mereka boleh minum minuman keras dan membahayakan orang lain,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan kereta peronda baharu, di KDN, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid menerima 30 kereta peronda baharu jenis Honda Civic 1.8 yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, di perkarangan kementerian itu, tengah hari tadi.

Kereta peronda berkenaan diperoleh melalui Peruntukan Mengurus 2020, yang membuat sewaan kenderaan berkenaan secara konsesi dengan syarikat, Spanco Sdn Bhd, untuk tempoh lima tahun.

Ia sebahagian daripada 425 kereta peronda baharu yang dijadualkan diterima sepenuhnya pada minggu ketiga Julai nanti.

Abdul Hamid berkata, kereta peronda serta aset lain yang akan diterima berperingkat-peringkat itu bagi menggantikan kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah uzur dan tidak lagi selamat digunakan.

Beliau berkata, ketika ini, kebanyakan kenderaan dan aset milik PDRM memerlukan kos selenggaraan yang terlalu tinggi.

Katanya, selain kereta peronda, pihaknya akan menerima lori pengangkut dan motosikal untuk anggota trafik.

“Penggantian aset PDRM ini dibuat secara berterusan, mengikut kemampuan kerajaan,” katanya. -BH