KLANG: Dua penyamun tidak bernasib baik apabila hanya memperoleh beg berisi kasut kanak-kanak di dalam sebuah kereta yang dipecah masuk mereka di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, kelmarin.

Lebih malang, mereka kemudian ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam selepas rakaman video kegiatan jenayah mereka dirakam pengunjung pasar raya berkenaan sehingga viral di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kedua-dua suspek lelaki dikenali sebagai ‘Burung’ dan ‘Adik’ ditahan di sekitar Bukit Tinggi pada jam 2.30 pagi dan jam 12 tengah hari.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing berusia 33 tahun dan 19 tahun mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Suspek kedua dengan gelaran ‘Adik’ baru keluar penjara Oktober lalu kerana kes curi.

“Kedua-dua suspek mendakwa kereta yang dipecah masuk itu kebetulan tidak berkunci. Mereka buka but kereta dan ambil beg,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Shamsul berkata, kedua-dua suspek mengenali antara satu sama lain kerana masing-masing terbabit dengan dadah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai aktif dengan jenayah pecah kereta sejak sebulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kenderaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, kedua-dua suspek menunggang sebuah motosikal Honda EX5 dilihat berlegar-legar di kawasan parkir pasar raya berkenaan.

Seorang daripada suspek kemudian berjalan ke arah sebuah kereta PERODUA Kancil sebelum dilihat membuka pintu belakang kenderaan itu dan masuk ke dalamnya.

Selepas itu, dia kemudian keluar semula dan membuka but kereta sebelum melarikan sebuah beg berwarna hitam.

Dalam video berdurasi seminit 37 saat itu, seorang lelaki dilihat cuba mengejar kedua-dua suspek namun gagal apabila kedua-dua mereka bergegas meninggalkan lokasi berkenaan – berita harian