DRAMA seorang lelaki yang cuba melarikan motosikal didakwa milik sepupunya tidak menjadi apabila dia ditahan pemilik motosikal itu dalam kejadian berhampiran sebuah hostel di Jalan Marina, Miri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, suspek berusia 40-an cuba membuka kunci brek cakera motosikal berkenaan sebelum kejadian itu disedari pemilik motosikal iaitu lelaki berusia 25 tahun.

Menurut sumber, suspek dikatakan berjaya mematahkan pengunci leher motosikal itu dan cuba membuka brek cakera motosikal sebelum cuba melarikan motosikal itu.

Menurutnya, kejadian itu pada mulanya disedari orang awam yang kemudiannya cuba membantu suspek apabila suspek mendakwa motosikal itu milik sepupunya.

“Suspek mendakwa motosikal itu milik sepupunya dan suspek kononnya diamanahkan untuk mengambil motosikal itu.

“Suspek berlagak tenang sehinggalah orang awam mula menyedari perbuatan suspek apabila mendapati kunci digunakannya berlainan dengan motosikal itu,” katanya.

Sumber berkata, kejadian itu mengakibatkan pertengkaran antara suspek dan orang awam apabila suspek berkeras mendakwa motosikal itu miliknya.

“Bagaimanapun, drama suspek berakhir apabila pemilik motosikal yang menginap di hostel berkenaan datang dan mengesahkan motosikal itu miliknya.

“Suspek turut dibelasah orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu – hmetro