SUNGKAI: Pegawai agama di negeri ini diminta mengubah pendekatan lebih kreatif dalam usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi agama.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu
perlu kerana bidang agama merupakan salah satu bidang yang dilihat secara kritis oleh rakyat.

Menurut beliau, mereka perlu turun padang bersama-sama masyarakat untuk memberi tunjuk ajar dalam bidang-bidang yang berkaitan seperti syariah dan undang-undang keluarga.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahuinya, jadi kita mengambil pendekatan turun ke bawah berjumpa rakyat dan memberi penjelasan kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mahabbah Eidul Fitri bersama institusi agama Islam Perak dan warga Felda di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3 dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Dr Zambry berkata, usaha itu juga mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku
Ketua Agama Islam di negeri ini.

“Baginda juga merestui dan memberi ransangan kepada gerakan-gerakan bagaimana kita dapat berhubung dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, atas keprihatinan baginda masyarakat Islam mendapat penjelasan dan pembelaan yang baik melalui beberapa pendekatan baru yang dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, keprihatinan baginda mahu kaedah menyalurkan bantuan kepada asnaf dapat diubah supaya menjadi lebih kreatif.

Dr Zambry memuji usaha yang dilakukan oleh institusi agama, seperti Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam Perak dalam membantu kerajaan mencari jalan menyelesaikan masalah-masalah yang dialami rakyat di negeri ini.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan elaun kepada pegawai masjid dan saguhati kepada bakal-bakal hari di sekitar kawasan Felda tersebut.

Sebelum itu, Dr Zambry melawat tiga warga Felda Besout 3 yang uzur.