IPOH: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Perak didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM3,000, dua tahun lalu.

Megat Khairul Anuar Sulaiman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang individu, Muhammad Zahir Zahiri sebagai dorongan untuk menutup kes tangkapan dua pekerja Indonesia yang melanggar hal ehwal prinsipalnya sebagai pegawai imigresen.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu menerusi satu panggilan telefon yang dibuatnya pada jam 1.55 tengah hari, 30 Mac 2016 terhadap individu terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Megat Khairul Anuar dituduh secara rasuah menerima sebanyak RM3,000 daripada individu sama sebagai balasan untuk menutup kes tangkapan dua pekerja Indonesia terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Perak, jam 5.10 petang, pada 30 Mac 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang juga membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM R Kumuthambal di hadapan Hakim S Indra Nehru manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kumuthambal memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kerana dia tidak mempunyai simpanan yang banyak selain perlu menanggung ibu yang uzur serta menyara persekolahan adik-adik yang masih bersekolah.

Indra Nehru kemudian memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes selain membolehkan tertuduh membuat lantikan peguam – berita harian