PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan hari ini direman lima hari bagi membantu siasatan projek membabitkan sebuah agensi kerajaan yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Dua lagi ialah pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) terkemuka yang dipercayai diberi tanggungjawab membangunkan sistem berkenaan.

Perintah reman terhadap lelaki berusia antara 44 dan 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.20 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari, diiringi pegawai SPRM.

Semua individu itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi di kediaman dan pejabat mereka di sekitar Lembah Klang antara jam 11 pagi hingga 2 petang semalam.

Sumber semalam, berkata pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan bersubahat dengan dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 – Berita harian