Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Hasrat seorang pegawai kanan polis menyambut Ramadan pertama bersama keluarga tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, pada pagi Sabtu.

Mangsa, Deputi Superintendan (DSP) Madon Budin, 59, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar penghadang besi di Kilometer 283.4 Lebuhraya Utara Selatan di sini.

Beliau yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh cedera parah di kepala dan patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika ditemui pemberita berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang untuk menyambut Ramadan bersama keluarganya di Batu Caves, Selangor.

“Siasatan di lokasi mendapati kereta mangsa remuk di bahagian hadapan” katanya.

Chang Keong berkata, jenazah akan diserahkan kepada keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Lumpur-Karak selepas urusan bedat siasat selesai.

Beliau berkata, allahyarham Madon merupakan seorang pegawai yang rajin dan berdedikasi serta sentiasa bersedia bekerja lebih masa dalam melaksanakan tugasnya.

“Beliau merupakan seorang yang komited dalam tugasnya dan kami di IPD Ipoh berasa amat sedih atas pemergiannya, apatah lagi ini merupakan tahun terakhir arwah di IPD Ipoh setelah dua tahun bertugas di sini,” katanya.

Allahyarham Madon mula ditugaskan di IPD Ipoh pada tahun 2015. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.