KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan di Perbadanan Putrajaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah berjumlah RM17,000 daripada tiga syarikat berhubung sebut harga yang ditawarkan perbadanan itu, tiga tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Korporat, Mohamad Rohaizat Kasman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Rohaizat didakwa telah secara rasuah meminta suapan wang tunai RM17,000 daripada Noor Alfidah Mohamed Zakri sebagai upah mendapatkan dan meluluskan sebut harga yang ditawarkan perbadanan itu untuk syarikat Teras Reka, Shogi Bena Sdn Bhd dan Fidah Supply & Services pada jam 4 petang, 16 Disember 2015.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Noor Alfidah, wang tunai RM1,000 dan sekeping cek berjumlah RM12,000 daripada Ahmad Fairuz Abdul Rahim sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan yang sama antara 17 Disember 2015 dan 16 Mei 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Restoran Nasi Kandar Darulsalam di Jalan 4W, Galeria PJH, Presint 3, Putrajaya.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mohamad Rohaizat didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Firdaus Abu Hanipah menawarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Mohamad Dhiyaulhaq Mohamed Arifin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan tarikh perbicaraan selama 16 hari bermula dari 7 November hingga 12 Disember ini.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 April ini untuk serahan dokumen – berita harian