PETALING JAYA: Selain tidak dibenarkan memegang lebih daripada lima jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pegawai kerajaan yang terbabit juga perlu bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata dalam usaha mewujudkan budaya Malaysia baharu yang bebas rasuah dan salah guna kuasa, GLC perlu dipimpin kelompok teknokrat yang boleh membawa keuntungan kepada syarikat yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Pelantikan pegawai kerajaan dalam GLC juga perlu melalui sistem merit untuk memastikan syarikat berkenaan diterajui bukan ahli politik, sebaliknya golongan teknokrat atau mereka yang berkelayakan untuk memacu pertumbuhan syarikat.

“Saya rasa itu lebih penting kerana banyak GLC di Malaysia teramat baik tetapi dikongkong ahli politik yang hendak mengkayakan poket sendiri yang akhirnya menghancurkan syarikat.

“Contohnya isu FELDA, saya rasa itu perkara teramat jelas, dulu saham RM4.20 dan kini turun RM2.60 dan turun kepada RM2.40 seunit. Ia agak menyedihkan ketika di bawah kepemimpinan Tan Sri Isa Samad (bekas Pengerusi FELDA).

“Jadi, lantikan dalam GLC perlu diberikan kepada mereka yang berkelayakan kerana ia menggunakan duit rakyat dan rakyat akan terima balik nikmat kalau GLC itu baik,” katanya dalam temubual bersama NSTP di Ibu Pejabat PPBM, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pegawai kerajaan tidak dibenarkan memegang lebih daripada lima jawatan dalam GLC.

Perdana Menteri berkata, pihaknya juga tidak menggalakkan mana-mana pegawai tinggi kerajaan memegang dua atau tiga jawatan lain, namun perkara itu tidak dapat dielakkan – berita harian