IPOH : Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander direman enam hari bagi membantu siastan kes rasuah.

Pegawai berusia 42 tahun yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Staf Logistik dipercayai terbabit kes rasuah pembekalan katering yang dianggarkan bernilai RM18,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Markas Wilayah Laut 3, Pangkalan TLDM Langkawi tahun lalu.

Suspek yang kini bertugas di Pangkalan TLDM Lumut, ditahan 4.20 petang Rabu ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

Lelaki terbabit yang memakai baju lokap SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 11 pagi dan permohonan reman dibuat oleh Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal.

Penolong Kanan Pendaftar Adibah Abdul Kadir mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 19 Mac depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.