KLANG: Dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian dakwat kepada Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah berjumlah RM93,685 tahun lalu.

Turut direman adalah pemilik syarikat iaitu lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai terbabit bagi penjualan dakwat berkenaan.

Majistret Roslizi Sulaiman membenarkan perintah reman mulai hari ini sehingga Jumaat ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Klang, kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Pegawai wanita berpangkat Leftenan Komander berusia 39 tahun dan kini bertugas sebagai Penolong Setiausaha (Laut) Bahagian Pengurusan Sempadan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu direman bersama seorang Bentara Kanan berusia 38 tahun yang masih bertugas di TLDM Pulau Indah.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengemukakan tuntutan bayaran pembelian dakwat oleh syarikat berkenaan namun barangan terbabit tidak dibekalkan kepada Pusat Hidrografi Nasional Pulau Indah.

Antara peralatan yang disenaraikan adalah Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A.

Semalam, SPRM menahan empat individu yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan namun seorang daripada mereka iaitu pengurus syarikat itu dilepaskan dengan notis dan jamin untuk hadir ke pejabat SPRM Klang bagi merekodkan keterangan.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dihantar ke lokap SPRM di Putrajaya hari ini – berita harian