SEPANG: Seorang pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Imigresen Negeri Sembilan terjatuh dari siling ketika mengejar seorang pekerja asing dalam satu operasi khas di sebuah kuarters kilang pembuatan sarung tangan di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang tadi itu, Nur Erra Ellina Zaharudin, 24, yang bertugas di Unit Tindakan Imigresen terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan kaki.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata ketika kejadian pegawai itu sedang mengejar seorang pekerja asing yang cuba melarikan diri melalui siling berkenaan.

“Sewaktu mengejar pekerja asing terbabit, pegawai wanita itu terpijak papan siling dan menyebabkannya terjatuh.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dan kini sedang menunggu pemeriksaan imbasan X-ray,” katanya ketika ditemui pemberita pada operasi itu, hari ini.

Selain pegawai wanita terbabit, beliau berkata seorang pekerja Bangladesh juga mengalami kecederaan di kepala ketika cuba melarikan diri dalam operasi itu.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, operasi yang bermula jam 12.30 tengah hari itu susulan penamatan Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Secara Sukarela (3+1) pada 30 Ogos lalu.

“Mana-mana PATI yang masih bergelandangan, berlambak dan berkeliaran di negara ini, kita gempur habis-habisan dan tindakan ini untuk memerdekakan negara daripada PATI.

“Kita memperoleh aduan daripada masyarakat yang letih dan lemas dengan kewujudan PATI di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, bermula 1 Januari hingga 30 Ogos lalu, sebanyak 9,527 operasi pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, dengan seramai 116,927 warga asing diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 29,177 tangkapan dilakukan dan seramai 880 majikan dikenakan tindakan.

Mengenai operasi hari ini, Mustafar berkata kira-kira 1,800 pekerja asing di kilang pembuatan sarung tangan itu diperiksa oleh pegawai imigresen.

Terdahulu, tinjauan semasa operasi berkenaan mendapati, pekerja asing melarikan diri dengan memanjat pagar setinggi kira-kira tiga meter dan melalui kawasan semak di bahagian belakang kilang itu.

Seorang pekerja asing wanita turut menangis, namun dia kemudian memberikan kerjasama selepas pegawai imigresen memberitahu mahu memeriksa dokumen – berita harian