Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: “Hello, boleh minta nombor telefon awak?”.

Ini merupakan mesej yang diterima oleh seorang wanita daripada rakannya di Facebook sebelum mendakwa beliau telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan rakan-rakannya terpedaya dan mengalami kerugian kira-kira RM1,000.

Woo Yee Ching, 50, mendakwa, dia telah memberikan nombor telefonnya kepada rakan yang sememangnya dikenalinya tanpa sebarang prasangka buruk.

Yee Ching, merupakan mangsa penipuan pegodam siber yang kini semakin kreatif menggunakan akaun Facebook miliknya untuk memperdayakan rakan-rakan kenalannya di laman social tersebut.

Katanya, dia hanya menyedari tentang kejadian itu selepas bertemu salah seorang rakannya di majlis makan malam di sebuah hotel, di sini, Jumaat lalu.

“Rakan saya itu ada bertanya mengapa saya perlu mengirimkan mesej menerusi facebook messenger sedangkan pada ketika itu saya bersamanya.

“Sebaik dimaklumkan perkara itu, saya cuba mengakses akaun facebook saya namun gagal kerana segala butiran termasuk kata kunci sudah ditukar.

“Selepas itu, barulah saya menyedari mengenai perlakuan pelik rakan saya yang sering meminta nombor telefon saya dan juga beberapa nombor tidak dikenali yang mengatakan saya mengenali mereka,” katanya

Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Ipoh di Potpourri House Cafe, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, susulan kejadian itu beberapa rakannya yang lain turut bertanya tentang tindakannya meminta bantuan untuk menambah nilai (top up) Money Online (MOL) di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

Katanya, dia bukan sahaja tidak tahu menahu malah memburukkan lagi keadaan ada di antara rakannya telah membelikan kad tambah nilai terbabit dan memasukkan butirannya ke akaun facebook miliknya tanpa memaklumkan terlebih dahulu.

“Seorang daripada rakan saya sanggup membeli nilai tambah sebanyak tiga keping berjumlah RM300 kerana bimbang saya benar-benar perlukan bantuan itu,” katanya.

Yee Ching berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berleluasa, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru, 11 Mac lepas.

Dalam perkembangan sama, katanya, sehingga kini rakannya yang mendakwa mengalami kerugian akibat kejadian itu masih belum membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengerusi MCPF Ipoh, Henry Choong Foh Kuan meminta orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan penipuan atas talian sepertimana kejadian yang menimpa Yee Ching.

“Saya minta polis menyiasat perkara ini dan menggesa orang ramai tidak terlalu percaya dengan penipuan berkenaan yang meminta tambah nilai sekaligus mengakibatkan mangsa kerugian berbentuk wang ringgit,” ujarnya.