PUTRAJAYA: Peguam bela dan peguam cara, Azhar Azizan@Harun atau lebih dikenali Art Harun, dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, pelantikan itu sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan sebagai Pengerusi SPR itu dibuat selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Azhar & Goh.

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang ada, saya yakin beliau akan dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar dilahirkan pada 26 Oktober 1962 di Kedah berkelulusan undang-undang (LLB) (Hons) dari Universiti Malaya dan (LLM) dengan Merit dari King’s College, University of London.

Beliau memulakan kerjaya guaman pada 1987 di Allen & Gledhill dan bermula pada 1992, Azhar berkhidmat sebagai peguam di Tetuan KH Koh, Azhar & Koh seterusnya berkhidmat di beberapa firma guaman terkemuka tanah air dengan kepakaran undang-undang pilihan raya.

Pada 13 Jun lalu, SPR memaklumkan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah akan memendekkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa 1 Julai.

SPR dilaporkan berkata, pemendekan tempoh perkhidmatan itu sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan dimaklumkan melalui surat daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara bertarikh 7 Jun.