KUALA LUMPUR: Peguam DAP akan menemani lelaki yang memaki seorang promoter bir dalam video yang tular, untuk merakamkan keterangannya di balai polis pada Khamis, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

“Saya dengar polis sedang buru Edi Rejang pagi ini.

“Jadi, sebab saya yang buat laporan polis, peguam-peguam DAP akan menemani dia untuk berjumpa polis yang mengendalikan kes tersebut di IPD Ampang Jaya, bagi memberikan keterangan.

“Edi berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Ditanya sekiranya perkara tersebut perlu diselesaikan, Lip Eng berkata, ia terserah kepada polis dan mangsa sama ada mereka mahu meneruskan kes tersebut.

“Terpulang kepada promoter itu untuk menyelesaikannya di luar mahkamah, atau terima permohonan maaf. Bukan saya untuk bercakap mengenainya,” katanya.

Pada malam Selasa, lelaki terbabit membuat permohonan maaf kepada mangsa dan orang ramai, menerusi klip video berdurasi 45 saat di laman sosial.

“Saya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada promoter perempuan tersebut.

“Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal di atas tindakan saya terhadap promoter tersebut,” katanya – mstar