SABAK BERNAM: Peguam Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin akan dijadualkan berlepas ke Jakarta, pagi ini bagi bertemu dengan anak guamnya, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang ditahan pihak berkuasa negara itu petang semalam.

Beliau melalui mesej aplikasi WhatsApp berkata, Jamal yang sebelum ini menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO dan tewas dalam pemilihan lalu, kini ditahan di Polda Metro Jaya, Jakarta.

“Saya telah berhubung dengan rakan peguam di Indonesia dan pada masa sama juga menghubungi Pegawai Kedutaan Malaysia.

“Segala perkembangan terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada 6.15 petang, semalam.

Muhyiddin berkata, PDRM sudah dihubungi bagi menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke Malaysia.

Jamal, 48, sebelum ini dilapor menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu dan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang sama.

Jamal didakwa atas pertuduhan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor, 5 Oktober tahun lalu.

Selain itu, beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960  berita harian