KUALA LUMPUR: Peguam kepada seorang anggota exco Perak yang dikaitkan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya menafikan bahawa beliau ditahan polis.

Sebaliknya, peguamnya Leong Cheok Keng berkata bahawa anggota exco itu hadir ke balai polis secara sukerela.

“Dia tidak ditahan. tapi, pergi ke balai secara sukarela,” katanya laporĀ Malaysiakini.

Leong yang juga Adun Malim Nawar bahawa anak guamnya juga dilepaskan dengan jaminan polis selepas polis mengambil kenyataan.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata anggota exco berkenaan ditahan semalam bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, polis Perak menerima laporan seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun pada 8 Julai yang menyatakan beliau dirogol seorang exco Perak yang juga majikan di rumahnya di Ipoh.

“Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan dengan merakam percakapan mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

“Bagi melengkapkan siasatan, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap exco berkenaan semalam dan juga membuat pemeriksaan doktor terhadap suspek bagi tujuan siasatan,” kata Razarudin dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, setelah selesai, suspek berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Berdasarkan bukti awal siasatan, pihak polis telah mengklasifikasikan kes tersebut bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Siasatan forensik telah dijalankan di tempat kejadian dan beberapa bukti telah diambil untuk dianalisis. Percakapan beberapa saksi berkaitan telah diambil termasuk

ahli keluarga exco berkenaan,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, pihak polis telah menempatkan mangsa di tempat yang selamat sehingga kertas siasatan ini dirujuk ke pihak ibu pejabat Polis Bukit Aman dan timbalan pendakwa raya.