Menggugurkan pendakwaan ke atas majikan Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kematian seorang pembantu rumah Indonesia adalah keputusan yang mengejutkan, kata Eric Paulsen yang merupakan wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, jelas Paulsen, Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan berhubung keputusan berkenaan.

“Saya tidak faham kenapa timbalan pendakwa raya dalam pendakwaan berkenaan mengambil keputusan itu (menggugurkan pendakwaan).

“Kes ini merupakan antara kes dera paling serius pernah terjadi di Malaysia namun timbalan pendakwa raya menggugurkan dakwaan. Saya tak dapat bayangkan apa alasan tindakan timbalan pendakwa raya itu kerana keputusan ini menyebabkan ketidakadilan.

“Tindakan itu memberi mesej yang salah, bahawa nyawa pekerja asing tidak mempunyai nilai dan dalang penderaan serius boleh terlepas hanya kerana undang-undang tidak melindungi pekerja asing,” katanya.

Tambah Paulsen, jika peguam negara tidak menjelaskan perkara itu, ia akan menyebabkan orang awam beranggapan ada sebab lain di sebalik keputusan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan, mendiang Adelina Sau didakwa diseksa dan dipaksa tidur dengan anjing di luar rumah majikannya di Pulau Pinang.

Mangsa warga Indonesia yang berumur 21 tahun itu meninggal dunia Feb lalu selepas ditemui di luar rumah majikannya dengan kepada dan mukanya dipenuhi luka.

Majikannya, S Ambika, didakwa membunuh namun pertuduhan itu digugurkan minggu lalu.

Sementara itu, AFP memetik pengarah eksekutif Migrant Care, Wahyu Susilo di Indonesia mengecam keputusan menggugurkan dakwaan berkenaan.

Katanya, majikan mungkin dilepaskan kerana gagal mendapat saksi utama seperti ibu bapa Sau untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Wahyu juga menggesa Jakarta untuk membuat bantahan.

Petisyen dalam talian, yang mempersoalkan keputusan mahkamah itu setakat ini sudah mencecah 11,000 tandatangan – Malaysiakini