KUALA LUMPUR: Tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn Bhd akan memindah hak milik plot tanah seluas satu ekar terletaknya Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kepada pemegang amanah yang akan diuruskan oleh Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas melalui kenyataan media yang diperoleh hari ini.

Menurutnya, pada awal minggu ini terdapat pertemuan dengan peguam daripada pelbagai pihak yang terbabit dalam kekecohan baru-baru ini di kuil itu dengan pihaknya.

“Melalui pertemuan itu, beberapa cadangan untuk penyelesaian yang saya sokong, dikemukakan. Sebagai Peguam Negara saya akan memohon kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.

“Mahkamah Tinggi akan melantik pemegang amanah daripada seorang yang mempunyai reputasi yang baik dan berintegriti serta boleh diterima oleh semua pihak yang bertelagah sebagai pegawai mahkamah yang mempunyai kawalan terhadap pemegang amanah kuil,” katanya.

Tambah beliau, pada masa yang sesuai Mahkamah Tinggi akan diminta memindahkan hak milik kuil itu kepada pemegang amanah.

“Bagi memastikan tiada berat sebelah dan kekal neutral di kalangan semua pihak berkaitan kuil, Peguam Negara berharap akan dapat dijadikan pihak dalam semua permohonan di Mahkamah Tinggi.

“Atas semangat persetujuan bersama dan pendekatan bertolak ansur oleh semua pihak yang terbabit, semoga penyelesaian berhubung pertikaian ini akan dicapai pada masa akan datang,” katanya – berita harian