PETALING JAYA: Peguam negara akan membatalkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi Ramli daripada tuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Tommy Thomas, yang nampaknya tidak tahu tentang perkara itu, memberitahu theedgemarkets.com bahawa beliau akan berbuat demikian pada Isnin.

Beliau terkejut jabatannya memfailkan rayuan terhadap pembebasan naib presiden PKR itu bulan lepas.

“Keputusan itu sudah disampaikan kepada pegawai-pegawai berkenaan,” katanya kepada laman kewangan itu.

Thomas juga memaklumkan beliau akan dapatkan penjelasan kenapa rayuan difailkan walaupun sudah diarah untuk tidak berbuat demikian.

“Tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya kata laporan itu.

Awal hari ini, salah seorang peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha, berkata pasukan pembelaan diberitahu mengenai rayuan tersebut hari ini melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan.

Nik Zarith berkata pendaftar juga menetapkan 9 Mac sebagai tarikh sebutan rayuan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Nov lepas melepaskan dan membebaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan NFC, anak syarikatnya dan pengerusi Salleh Ismail.

Perkembangan ini mengundang kritikan Rafizi, yang berharap Thomas akan bertindak terhadap pihak keluarga bekas menteri dalam kes NFC.

CEO syarikat itu adalah suami kepada bekas menteri Shahrizat Abdul Jalil, Salleh Ismail. Anak-anak Shahrizat iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah adalah pengarah.