SHAH ALAM: Peguam Negara, Tommy Thomas perlu memberi penjelasan berhubung keputusan mahkamah melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa semalam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, penjelasan itu penting supaya rakyat tidak keliru dan meragui kewibawaan institusi Jabatan Peguam Negara.

Turut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dengan Guan Eng dalam kes berkenaan.

“Peguam Negara perlu membuat penjelasan supaya tidak timbul tafsiran yang merosakkan persepsi umum terhadap Jabatan Peguam Negara.

“Sebab itu penjelasan penting supaya tidak ada tafsiran yang salah,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan, Li Koon, daripada dakwaan bersubahat.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada prosiding semalam, pihak pendakwaan memohon supaya Guan Eng dan Li Koon hanya dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.

Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan beliau selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam didakwa mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta di kediaman terbabit pada 28 Julai 2015.

Li Koon yang juga bekas pemilik banglo itu pula didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan lot tanah dan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan pada tarikh yang sama – berita harian