IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak sudah menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak tidak akan bertahan lama.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, mereka sudah lama kecewa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja.

Dakwanya, sikap Ahmad Faizal yang suka mempermainkan rakyat boleh dilihat sepanjang minggu lepas dalam melengahkan masa untuk membuat keputusan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sebelum ini saya sering membidas Peja dalam kegagalan melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dan ahli parti komponen Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Farhash berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang selama ini memulaukan diri, akhirnya menunjukkan belang apabila menyertai Bersatu.

“Malah langkah penyokong tegar ‘kartel’ ini bagai sudah dijangka dan ini yang membimbangkan rakyat kerana wujud ahli politik yang tidak amanah.

“Kerakusan dan ketandusan ahli politik seperti Peja dan sekutunya yang sanggup membelakangkan rakyat, wajar dihukum pada pilihanraya nanti,” ujarnya.

Farhash berkata, walaupun kerajaan PH jatuh hari ini, tetapi akan bangkit semula bersama rakan-rakan yang setia berjuang tanpa kewujudan kabilah.

“Saya cenderung melihat ini sebagai nafas baru dalam perjuangan reformasi bersama ahli parti PKR yang bebas dari ‘kartel’ dan memperkukuhkan Pakatan Harapan.

“Luka rakyat Malaysia dari pengkhianatan oleh beberapa ahli parti PKR dan Bersatu yang masih belum kering ditambah pula dengan kejatuhan beberapa buah kerajaan negeri sejurus itu,” katanya.