IPOH– Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu telah meminta Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan Taiping supaya mempercepatkan proses pembukaan semula pejabat penghulu di Sayong dan Taiping bagi melicinkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Ujarnya, kerajaan negeri akui peranan penting yang dimainkan oleh penghulu dan penggawa dalam pentadbiran negeri Perak.

“Ini kerana mereka adalah penghubung jalinan antara rakyat dan Kerajaan, mereka juga banyak membantu tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya akan berhubung dengan Pegawai Daerah di kedua-dua tempat untuk mempercepatkan proses agar pejabat penghulu dapat dibuka dengan lebih segera,”katanya kepada pemberita di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri sedang mencari jalan bagaimana untuk menjadikan fungsi penghulu dan penggawa lebih komprehensif dan relevan dalam suasana yang begitu kompleks dalam dunia hari ini.

“Jadi saya menyambut baik langkah pihak kesatuan tentang kajian fungsi serta peranan penghulu ini, yang dapat membantu kerajaan negeri dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sementara itu, beliau akan mempertimbangkan permohonan elaun keraian dan telefon bimbit kepada penghulu dan penggawa yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan.

“Dua perkara penting saya nampak ialah berkenaan dengan elaun keraian dan elaun bil telefon bimbit, perkara itu saya secara “off hand” tidak boleh bagi komitmen.

“Saya berjanji untuk berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Jika kita mampu…kita akan berikan tapi dalam masa yang sama kalau kita buat satu keputusan berkenaan kewangan, implikasi kewangan itu terhadap Kerajaan perlu kita kaji secara menyeluruh, tidak boleh bagi pada satu pihak sahaja,”ujarnya.

1/5