ROMPIN: Pejabat Hutan Daerah Rompin merampas 510 balak pelbagai jenis bernilai RM240,000 yang ditebang secara haram oleh sindiket untuk dijual di Hutan Simpan Ibam, dekat sini, kelmarin.

Serbuan diketuai Pegawai Pejabat Hutan Daerah Rompin, Nazri Husin bersama 18 kakitangan itu turut merampas jengkaut digunakan sindiket terbabit untuk membuat jalan, memindah dan mengangkat balak.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata pemeriksaan dilakukan menemui beberapa longgokan balak jenis meranti, kempas dan balau seberat 200 tan yang sedia dipindahkan.

Katanya, sindiket itu dipercayai melarikan diri beberapa jam sebelum anggota unit penguat kuasa tiba dan mereka dipercayai berpengalaman luas melakukan kegiatan menebang serta memindahkan balak di hutan selain mempunyai kelengkapan jentera.

“Faktor harga balak yang meningkat di pasaran tempatan kini menjadi antara punca peningkatan kegiatan mencuri balak sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri selain menjejaskan alam sekitar.

“Saya sudah mengarahkan Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Pahang Barat dan Timur serta pejabat hutan daerah supaya meningkatkan rondaan dan pemeriksaan di kawasan panas masing-masing.

“Saya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sindiket terbabit dengan kegiatan memindah balak tanpa lesen, pesalah akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Nazri berkata, pihaknya akan menggiatkan usaha mengesan pencerobohan hutan simpan dan kegiatan memindahkan balak secara haram di daerah ini.

“Pelbagai kaedah akan digunakan unit penguat kuasa PHD Rompin bagi membendung kegiatan menyalahi undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 membabitkan aktiviti mencuri balak.

“Kita berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencuri balak supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya – berita harian