BAGAN SERAI: Pejabat Menteri Besar Perak hari ini tampil menghulurkan bantuan kepada tiga beradik di Bukit Merah yang tidak dapat meneruskan persekolahan akibat kesempitan hidup.

Bantuan disampaikan Pegawai Khas Kanan Menteri Besar, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang menziarahi ibu saudara tiga beradik itu, Aspalela Zan, 42, di Kampung Wawasan Indah, Penempatan Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah di sini, pada Rabu.

Hafez Mubin menyampaikan sumbangan kewangan dan beg sekolah kepada kanak-kanak itu yang tinggal dengan Aspalela.

Menurutnya, pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah telah mengambil maklumat tiga kanak-kanak tersebut bagi tujuan dokumentasi untuk membolehkan mereka meneruskan persekolahan di sekolah rendah berdekatan.

“Kita akan melihat bantuan susulan yang bersesuaian kepada tiga kanak-kanak ini dan keluarga Aspalela,” katanya.

Media hari ini melaporkan dua anak Aspalela dan tiga anak saudara yang dipeliharanya sejak kecil berhenti sekolah sejak beberapa tahun lalu akibat kesempitan hidup.

Ibu kepada 13 cahaya mata itu berkata, dia dan suami tidak mampu memampung perbelanjaan sekolah anak-anak dan saudara mereka akibat tanggungan yang ramai dan pendapatan tidak menentu.

Suami Aspalela bekerja mengait buah kelapa sawit dan kerja-kerja kampung dengan anggaran gaji RM500 sebulan manakala Aspalela sendiri membantu dengan mencari barang lusuh untuk dijual.