IPOH: Pakar Perundangan, Dr Aziz Bari mencadangkan Pejabat Peguam Negara mengeluarkan satu garis panduan mengenai jenis pemilikan tanah yang digunapakai di negara ini.

Dr Aziz berkata, cadangan itu susulan persoalan beberapa pihak berhubung peranan Majlis Tanah Negara yang bertanggungjawab mengendalikan perundangan serta jenis pemilikan tanah gagal menjawab isu-isu berkaitan tanah terutama kekeliruan mengenai hak milik kekal.

Katanya, kuasa untuk memberi hak milik tanah adalah berada di tangan kerajaan negeri seperti yang termaktub oleh Kanun Tanah Negara.

“Ianya bukan di tangan kerajaan pusat, justeru Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir itu bersifat sebagai penasihat untuk bagaimana (cara-cara) menggunakan tanah dan sebagainya.

“Ia tidak mengambil alih kuasa negeri. Saya ada mencadangkan bahawa pihak Pejabat Peguam Negara membuat kenyataan mengenai pemilikan, biar rakyat Malaysia tahu apakah itu hak milik bebas (kekal), hak milik pajakan dan hak milik sementara, supaya undang-undang itu jelas,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Media di Bangunan Darul Ridzuan di sini, pada pagi Rabu.

Dr Aziz yang juga Exco Pendidikan,Teknologi, Sains dan Alam Sekitar berkata beliau akur mengenai kuasa pemberian hak milik tanah yang diserahkan kepada kerajaan negeri sepertimana yang termaktub di bawah Kanun Tanah Negara.

Dalam perkembangan sama, Dr Aziz menegaskan bahawa kenyataan beliau untuk membawa isu pemilikan tanah ke Majlis Tanah Negara hanya satu cadangan dan bukannya tindakan untuk melarikan diri daripada perkara berkenaan.

Menjawab persoalan mengenai janji pemberian hak milik kekal sepertimana dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum lepas, Dr Aziz berkata kerajaan negeri tidak berdolak-dalik dalam hal tersebut.

“Ini bukan soal tidak melaksanakan janji, sepanjang cadangan ada kekeliruan (yang berlaku). Saya fikir majoriti dalam Pakatan Harapan komited untuk memberikan hak milik kekal cuma agak mengambil masa,’ujarnya lagi.

Dr Aziz berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan memandang serius manifesto yang telah diberikan kepada rakyat sebelum ini dan tidak akan sekadar menutup (cerita) hak pemilikan tanah berkenaan.

Katanya, beliau kesal kerana hak pemilikan tanah itu kini sudah mula dialihkan kepada isu perkauman dan dimainkan semula oleh beberapa pihak tertentu.

“Jangan dipesongkan dengan isu kaum yang kini sudah mula dimainkan bali…ini satu permainan yang dangkal.

“Begitu juga dengan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), isu-isu pemilikan semuanya dari lensa atau perspektif kaum.

Katanya, tidak mustahil terdapat beberapa pihak yang keliru dengan kenyataan yang ditafsirkan sebagai Pakatan Harapan tidak komited dengan janji.

“Tidak perlu khuatir,…saya difahamkan majoriti rakyat masih lagi mendapat kebaikan termasuklah orang-orang Melayu sendiri di kampung-kampung tersusun. Ada yang mempersoalkan mengenai hak pemilikan tanah 90 tahun, 99 tahun dan sebagainya.

“Jadi mereka nak menggunakan isu ini untuk menakutkan orang Melayu dan sebagainya, itu harus difikirkan. Ada mengatakan kita mungkir janji tetapi sebenarnya kita komited cuma mengambil masa sebab ia melibatkan ramai orang, ada Cina, Melayu dan sebagainya,”ujarnya lagi.

Dr Aziz berkata kerajaan Pakatan akan bergerak di atas tanggungjawab untuk memenuhi manifesto rakyat dengan mengikuti proses perundangan pemilikan tanah Pejabat Peguam Negara.

“Kalau AG boleh beri kenyataan pemilikan jenis tanah ini baik juga, sebab dia akan memberi satu penjelasan, kita tak nak mereka yang terlibat dalam politik, ini tak membantu malah mengelirukan,”katanya lagi.