Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Masyarakat di Hulu Perak kini berpeluang untuk mendapatkan khidmat secara terus melalui aplikasi interaktif e-Pelanggan yang dibangunkan buat pertama kali di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hasan berkata, aplikasi e-Pelanggan itu merupakan inovasi kreatif Pejabat Penghulu Mukim Daerah Hulu Perak.

Beliau berkata, kewujudan aplikasi itu mampu memudahkan kerja seharian dalam urusan penyampaian aduan di semua peringkat.

Katanya, aplikasi interaktif yang holistik itu merupakan satu rangka sistem yang membolehkan pengurusan pelanggan, permohonan serta aduan masyarakat setempat dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Kini, masyarakat hanya perlu membawa MyKad masing-masing ke pejabat penghulu di mana kad itu akan diimbas, kemudian mengisi Borang Pengurusan Pelanggan dan rekod aduan mereka akan disimpan.

“Tujuan aplikasi ini dibangunkan adalah untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam di Pejabat Penghulu Mukim, seterusnya menambah produktiviti,” katanya kepada Suara Perak.

Malah, menurut Samsudin, masyarakat setempat tidak perlu risau kerana keselamatan data pelanggan adalah terjamin.

Katanya, maklumat juga lebih tepat, mesra dan dapat menjimatkan masa pelanggan tanpa perlu ke sana sini untuk meluahkan masalah mereka.

“Sekaligus ia menyahut seruan 3P yang disarankan oleh Menteri Besar iaitu turun padang, penyelesaian dan menyelami masalah,” tambahnya.

Samsudin berkata, inovasi itu merupakan ciptaan pertama oleh golongan penghulu di Perak dan di seluruh Malaysia.

Menurutnya, analisis awal mendapati ianya telah berjaya mentransformasi pentadbiran mukim yang menerima pelanggan utama yang terdiri daripada masyarakat akar umbi.

Tambah beliau, antara perkhidmatan yang disediakan adalah pengesahan pendapatan, pengesahan pemastautatin, pelbagai permohonan dan aduan serta pendaftar e-Kasih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalakkan penjawat awam supaya melihat terkehadapan melalui kajian strategik masa hadapan yang penting untuk mencapai matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Malah, sistem e-Pelanggan itu juga menyokong penuh saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menerajui dan menggalakkan penggunaan metodologi ‘scenario scanning’ dalam penyediaan pelan tindakan negara.

e-pelanggan 2