IPOH– Semua pentadbir tanah diminta memantau kegiatan pertanian di tanah-tanah kerajaan bagi mengesan penerokaan haram di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan menegaskan tiada sebarang kompromi berhubung isu tersebut memandangkan ia menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan sedia membantu petani yang benar-benar komited menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan, sekaligus memenuhi permintaan yang tinggi di pasaran.

“Pegawai-pegawai pejabat Tanah harus memantau tanah kerajaan yang telah diceroboh oleh pihak tertentu, apabila berlaku sedemikian mereka perlu keluarkan notis dengan segera.

“Kalau mereka (penceroboh) enggan, pegawai tersebut boleh keluarkan notis Tanah Negara, sebagaimana ada kes di Tapah, senarai peserta sudah ada untuk diberikan lot tetapi ada orang ceroboh ke tanah tersebut.

“Kita juga minta petani-petani supaya tidak menanam sawit, kita sudah ada industri besar yang tanam, jadi tanamlah sayur-sayuran yang perlu di pasaran disebabkan harga sayur meningkat,” katanya kepada pemberita di Bilik Mesyuarat Korporat, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan 40 penduduk Kampung Baru Kuala Bikam yang mengadakan demonstrasi aman di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Mereka meminta campur tangan kerajaan negeri terhadap isu pencemaran dipercayai akibat kerja-kerja mengambil pasir berhampiran kawasan tersebut.

Peguam yang mewakili penduduk, S Meganathan berkata, lebih 600 penduduk di kawasan itu yang kebanyakan bekerja sebagai petani terjejas teruk akibat sungai yang membekalkan air ke kawasan pertanian tercemar.

Ujarnya, terdapat satu kolam yang terbentuk di kawasan itu yang boleh menyebabkan sebahagian besar kawasan kampung berkenaan dinaiki air jika berlaku hujan lebat dan limpahan air sungai.